top of page
Writer's picturepantunandstuffs

Pantun atau Bukan? pt.1 - Persoalan Rima

Dalam entri ini kita lawat semula persoalan rima dalam pantun.


Pantun tu apa?


Mudahnya pantun, di sini kita takrifkan sebagai sejenis puisi tradisional Melayu, yang bentuknya terikat, dibina berangkap-rangkap. Dalam setiap rangkap mengandungi baris-baris (kerat) yang berpasangan, menjadikan pantun ini jumlah keratnya genap (2, 4, 6, 8 … )


Pasangan yang dimaksudkan ialah pembayang-maksud. Pantun ni jika dibahagi dua, bahagian pertama itu pembayang (sampiran) dan bahagian kedua itu maksud.


Pantun ni terikat bentuknya. Maksudnya di sini, ada elemen-elemen atau ciri-ciri yang perlu ada dalam pantun. Yang paling masyhur antara ciri-ciri ini ialah rima akhir pantun. Mudahnya, susunan rima akhir bagi pembayang perlu diulang semula pada bahagian maksud.


So, kalau pantun 2 kerat, aa. Kalau pantun 4 kerat, abab. Kalau 6 kerat, abcabc. Dan yang lapan kerat pula, abcdabcd. Syarat ini terpakai sehinggalah kalau pantun tu 16 kerat, maka skema rimanya ialah abcdefghabcdefgh. Nah, ambik. Boleh buat pantun panjang, ikut sukalah rajin ke tak. Asalkan setiap baris dalam pembayang tu ada pasangannya dalam maksud, dan susunan rima akhir pembayang tu diulang semula dalam maksud.


So far, terang. Boleh lihat entri kami yang terdahulu untuk tahu lebih lanjut mengenai pencirian pantun.

  1. What to Know about Pantun? Penerangan ringkas mengenai ciri-ciri pantun, secara umum.

  2. Siakap Senohong Gelama Ikan Duri - the things with rhyme Perihal rima dalam pantun dibincangkan dengan lebih lanjut.

  3. Syllables in Pantun Kaitan jumlah suku kata dalam baris-baris pantun dalam menjadikan pantun itu mulia atau tidak dibincangkan dalam entri ini.

!! Untuk memudahkan perbincangan, setiap kata ‘pantun’ yang diujar dalam entri ini akan membawa maksud pantun 4 kerat iaitu bentuk pantun yang lebih dominan, kecuali dinyatakan selainnya. Pun begitu, setiap perbincangan dalam entri ini, walaupun tertumpu kepada pantun 4 kerat, boleh diperluaskan kepada pantun-pantun yang terdiri lebih dariapda 4 kerat. !!


Persoalannya sekarang, jika kita makhluk yang sejenis gigih, kita lihat dalam koleksi-koleksi pantun yang sedia ada, datang dari pelbagai period pelbagai sumber, akan ada kita jumpa pantun yang rimanya macam sejenis aneh.


Contoh yang telah kita tunjuk dan bualkan sedikit dalam Pantun Pop quiz #4

!! Sebelum tu, peringatan. Rima ni ikut bunyi. Bukan ikut huruf hujung sama atau tak. Jadi, nak tak nak, kena sebut dan bunyikan pantun tu. Baru jelas rimanya. !!


Ok, sambung. Sekilas kita dapat tahu dua-dua pantun ni skema rimanya ke laut. Tadi kata pantun kena abab. Yang ni pantun pertama abcb, yang kedua pula abac. Ah, parah! Apa yang terjadi? Apakah yang digembar-gemburkan guru-guru KOMSAS dan sastera selama ini hanya penipuan agung?


Ada dua kebarangkalian.


  1. Ini bukan pantun. Mereka yang menyalin semula pantun ini telah berbuat silap. Nama pun manusia, takkanlah tak boleh buat silap.

  2. Ini memang pantun. Cuma pemahaman kita tentang apa ciri-ciri pantun, lebih-lebih lagi berkenaan rima telah dikecilkan, disempitkan sehingga sekarang yang kita faham, rima pantun perlu abab.

Akan jadi lebih senang kalau kita terima penjelasan pertama. Tutup buku, settle. Jumpa pantun rimanya bukan abab, kita tutup mata, buat-buat tak nampak.


TETAPI


Hah, 'tetapi' yang ni besar. Mereka yang menyalin pantun-pantun berima ganjil ni mempunyai authority dalam bidang ni. Mereka bukan baru semalam belajar pantun. Tetapi mereka salinkan juga pantun-pantun ganjil ini dalam penulisan mereka, untuk dijadikan contoh dan dibincangkan lanjut.


Jadi, mestilah jika benar rima pantun perlu abab, mereka mestilah sudah sedia tahu, dan sudah sedia jelas serta maklum pantun-pantun ganjil ini telah melanggar syarat rima pantun ni. Dan jika ini berlaku pada seseorang berminda waras, mereka tidak akan menyalin semula pantun-pantun ni. Bukan?


Jadi mengapa disalin juga?


Untuk menjawab soalan ini pula, ada beberapa penjelasan yang boleh jadi atau tidak menerangkan mengapa pantun-pantun berima ganjil ini tetap diangkat sebagai pantun.


1. Perbezaan sebutan dan tulisan


Apa maksudnya? Maksudnya, apa yang disebut, apabila disalin, hanya perkataan itu sahaja yang dapat diletakkan dalam bentuk tulisan. Cara menyebut tu tidak disertakan sekali.

Ini zaman International Phonetic Alphabet belum terkenal. So, kalau perkataan tu disalin, salin perkataan je. Barangkali sebutan asal pantun itu memang berima abab.


Contoh, pantun pertama. Pantun ini dicedok daripada Hikayat Inderaputera. Sebagai tanda terima kasih kerana dijamu sirih oleh tuan puteri, Inderaputera pun berpantun seperti yang tersebut.


Masalahnya terletak pada baris pertama dan ketiga. Rima akhir kedua-dua baris ini patut sama. Tetapi, sedia maklum kita sebut ‘rampai’ dengan ‘puteri’ berbeza. Suku kata terakhir ‘rampai’, -pai. Macam pai makanan tu. -pai ni gabungan konsonan dan diftong ai.


Diftong ni ciri dia, disebut tanpa jeda, gabungan dua huruf vokal itu takkan dibezakan, diftong akan dibunyikan terus dari vokal pertama ke vokal kedua, seperti diikat, jadi satu.


Perhati ai dalam 'rampai' dan 'saing'. ai dalam ‘rampai’ ni diftong, manakala ai dalam ‘saing’ bukan diftong. Makhluk ni dipanggil vokal berganding. Beza diftong dengan vokal berganding ni, kalau diftong disebut tanpat jeda antara dua vokal (gabungan vokal dalam diftong tidak dibezakan dengan jelas),vokal berganding ni pula dibezakan.


Jadi, pecahan suku kata (syllables breakdown) kedua-dua perkataan itu berbeza:

ram/pai vs sa/ing

Dalam ‘rampai’, ai terletak dalam satu suku kata, manakala dalam ‘saing’ ai terletak pada suku kata berbeza.


Dalam perkataan puteri pula, pecahan suku katanya jadi pu/te/ri. Suku kata terakhir ‘puteri’ bunyi vokalnya satu, i. Tak sama denga bunyi diftong ai. Jadi sekilas kita faham, dua baris ini tak rima.


Tetapi


Ragam menyebut perkataan ni banyak. Cara sebut, kita tak masuk lagi bahagian dialek, slanga semua alah tu.


Untuk menjelaskan mengapa ‘rampai’ dan ‘puteri’ diletakkan sebagai pasangan berima, mungkin (ni hypothesis, sebab nak layankan yang pantun ni masih abab) kerana perkataan ‘rampai’ itu tidak disebut seperti biasa.


Mungkin, asalnya pantun ini, bunyi ‘rampai’ itu menerima penekanan pada bunyi i di hujung. Jadinya, bukan ram-pai, tetapi lebih kepada ram-pai-i. Tapi i kat hujung tu jenis jelas tak jelas. Jika begini, maka fahamlah kenapa pemantun asal rimakan ‘rampai’ dengan ‘puteri’.


Untuk ‘puteri’ dibunyikan menjadi pu-te-rai macam agak unlikely. Aneh. Lebih mudah penjelasan atas tadi, sebab bahasa lisan tak semestinya baku. Kadang-kadang ada saja olahan bunyi-bunyi yang masih boleh diterima.


Boleh jadi juga ‘rampai’ ni asalnya disebut rampé, dan kita sedia maklum wujudnya sebutan é bagi bunyi baku i atau ai dalam bahasa Melayu, maka boleh jadi pemantun asal membunyikan puteri bukan dalam bentuk baku, tetapi lebih kepada puteré. Contoh lain, pandai – pandey (pandé).


Macam tu la, yang kita majukan dalam menerangkan mengapa pantun pertama ni masih mengikut rima abab.


Ada lagi satu contoh, dalam hikayat yang sama, yang mengambil ‘puteri’ sebagai berima dengan perkataan yang berhujung diftong ai

Rambutan dua setangkai, Anak tiung di bawah lantai; Bau-bauan pemberian puteri, Dicium dahulu barulah pakai.

Apo? ‘tangkai’ dengan ‘puteri’. Kesnya sama, perkataan pertama je lain. Parah.


Pantun kedua pun pening. Masalahnya pada baris kedua dan keempat. ‘kilau’ dengan ‘tahu’. Apa sama bunyi? ‘kilau’ tu sama bentuk dengan ‘rampai’, suku kata akhir dia diftong au, bukan vokal berganding. Jadi bunyi a dan u dalam -lau tu tak dibezakan. ‘tahu’ pula, suku kata akhir -hu, itu je la bunyinya.


Jadi, macam mana boleh dikatakan berima?


Ini mungkin, kami bawakan sebagai barangkali penjelasan kenapa dua ni jadi rima. Mungkin dalam menyalin perkataan ‘tahu’ tersebut, penyalin telah membuat keputusan untuk menyalinnya dalam bentuk baku. Mungkin, pemantun asal sebut ‘tahu’ sebagai ‘tau’. Tapi mungkin penyalin seperti “tulis ikut perkataan yang standard la, baku sikit, yang penting aku tahu bunyi dia” lepas tu takde recording.


Untuk mengukuhkan pandangan ini, kita bawakan dua lagi contoh, yang menunjukkan bahawa dalam kerja menyalin pantun ini kadang-kadang kita kena pilih, salin seperti bunyi yang didengar masa itu, atau salin perkataannya dalam bentuk baku.

Sebab, kalau salin seperti bunyi yang didengar, risau orang akan datang baca keliru perkataan apa ni sebenarnya. Contohnya ‘gajah’ pada pantun ketiga mungkin sepatutnya ditulis ‘gaja’ sebab h itu tidak ditekankan bunyinya, dan sebab itu boleh berima dengan ‘raja’.


Dalam pantun keempat, ‘Isnin’ patut disalin sebagai ‘Isnal’ iaitu sebutan alternatif Isnin (ni zaman DBP belum jadi polis bahasa, standardkan semuanya). Yang ni bukan mungkin, memang ada dalam salinan lain pantun ini, ejaannya diletak 'Isnal'. Masih aneh la tapi.


Tapi, kerisauan timbul jika kita letak ‘gaja’ dan ‘Isnal’ dalam tulisan, pembaca-pembaca akan datang yang tak sezaman keliru, perkataan apa ni? Belek-belek kamus, tiada entri tersebut.


Jadi, mungkin, untuk memudahkan pengecaman perkataan tu, mereka mengambil keputusan untuk menyalinnya dalam bentuk baku, bentuk yang semua orang faham.


Dan ini banyak terjadi pada pantun-pantun yang asalnya perlu dibunyikan mengikut dialek tertentu. Bila disalin dalam ejaan baku, hilang kualiti bunyi, dan kadang-kadang jadi aneh.

Orang zaman kemudian tengok, rasa aneh. Macam tu la kot mungkin.


Ya, banyak mungkin dalam entri kali ini, sebab semua yang diletakkan dalam entri ini hanya tekaan untuk jadikan pantun tu sesuai. Kita tiada peluang untuk jumpa penyalin pantun tersebut, apatah lagi pemantun yang asal. Jadi, kita hanya mampu meneka.


Sebagai latihan, di sini kami salinkan beberapa pantun, yang pada sekali pandang kelihatan tidak berima abab. Mengikut penjelasan yang telah diberikan, bolehkah kita terima pantun-pantun berikut sebagai pantun yang betul skema rimanya?

Yang di atas ni kira latihan yang agak mudah, yang berikut ini sedikit mencabar. Yang mungkin perlu duduk lama sedikit, termenung, menghitung nasib, baru dapat fikirkan kenapa dikira sebagai pantun.

2. Rima pantun bukan hanya abab


Sudah sedia maklum, sesiapa yang pernah mengenali dan mempelajari pantun tahu bahawa sekam rima bagi pantun ialah abab.


TETAPI


Ya, 'tetapi' kali ini pun besar juga. Memang skema rima bagi pantun yang lebih dikenali ialah abab, tetapi sebenarnya, bukanlah skema yang ini sahaja wujud untuk pantun.


Ada juga pantun-pantun yang menggunakan skema rima aaaa. Hal ini dapat diterangkan apabila dalam pembinaan pantun tersebut, bunyi a dan bunyi b bagi skema rima tersebut jadi sama. Maka jadilah skema rima aaaa.


Skema rima aaaa ini skema yang terkenal untuk syair, lagi satu bentuk puisi tradisional Melayu. Tetapi, syair tidak mempunyai pembahagian yang jelas antara pembayang dan maksud. Baris-baris dalam syair semuanya digunakan untuk menyampaikan maksud. Tidak seperti pantun yang separuh pertama digunakan hanya sebagai pembayang dan separuh kedua digunakan sebagai maksud.

Contoh dalam pantun kelima, jika sekali lalu boleh kita lihat skema rimanya aaaa, iaitu semua bunyi hujungnya bunyi i. Tetapi ada juga yang melihat pantun seperti ini berima abab, iaitu pada baris pertama dan ketiga, rimanya pada bunyi di, manakala pada baris kedua dan keempat rimanya pada bunyi i.


Dalam contoh keenam pun sama. Sekali lihat kita tahu bunyi a menjadi bunyi sepunya hujung keempat-empat baris, maka skema rimanya aaaa. tetapi ada juga yang melihat bahawa skema rima sebenar pantun ini ialah abab kerana baris pertama dan ketiga berima dengan bunyi ta, manakala baris kedua dan keempat berima dengan bunyi nya.


Jadi di sini, sebenarnya terpulang kepada bagaimana seseorang itu mahu melihat pantun tersebut. Bagaimana untuk tentukan sejauh mana sesuatu baris berima dengan pasangannya, terserah kepada yang melihat (mendengar? membaca?)


Selain abab dan aaaa, ada juga rima lain yang dipakai.


Apa? How?


Mohd Rashid Md Idris dalam analsisnya terhadap pantun-pantun dalam Kumpulan Pantun Melayu membahagikan rima pantun kepada tiga jenis

  1. abab - rima yang dominan, hampir keseluruhannya mempunyai rima tersebut

  2. aaaa - jumlah rima yang kedua banyaknya

  3. variasi lain - hanya sebahagian kecil. Contoh: abbb, abac, aaba, abcd


Variasi lain? Apo?


Dengar dulu, dia wujud. Tapi bukan dominan, dan jika perlu (hanya jika perlu), variasi rima ni kalau boleh jangan terlalu menyimpang.


Tapi, tadi telah kita datangkan beberapa contoh yang kelihatan seperti tidak ada penjelasan waras untuk mengatakan pantun tersebut berima abab atau 'seakan-akan' abab pun.


Untuk itu, mungkin pendapat mengenai wujudnya variasi rima pantun selain abab dan aaaa ini dapat mengurangkan sedikit kegusaran. Mungkin (mungkin lagi) bentuk rima selain abab dan aaaa ini biasa saja dahulu, tetapi apabila diturunkan dari generasi ke generasi, betuk abab diangkat menjadi lebih dominan. Dan dalam menyampaikan cara pembinaan pantun, yang diajarkan dan selalu ditekankan ialah rima abab, sehingga sekarang pun, kebanyakan perbincangan mengenai rima pantun dalam pengajaran (dalam kelas contohnya) hanya menekankan rima abab.


Kerana perkara ini lebih mudah, dan ini ada bagusnya juga. Dengan cara ini, bentuk pantun akan jadi lebih mantap, rima abab menjadi sinonim dengan pembinaan pantun. Dan di situ keunikan pantun dan estetikanya menjadi lebih jelas dan berbeza dengan bentuk-betuk puisi lain.


Kesimpulan

  1. Rima pantun yang paling dominan ialah abab

  2. Ada juga pantun berima aaaa (itu pun terpulang kepada pembaca untuk melihat sama ada itu benar aaaa atau ada rupa yang boleh menjadikannya jatuh kepada rima abab)

  3. Kalau jumpa pantun (lebih-lebih lagi dalam koleksi pantun lama) yang rima macam sejenis canggung (awkward) jangan cepat menghukum. Terjadi seperti itu mungkin kerana i) Bunyi dalam bentuk lisan oleh pemantun asal tidak baku, boleh jadi memang berima. ii) Pantun tersebut menggunakan variasi rima lain seperti abbb, abac, aaba atau abcd yang kini sudah tidak terpakai (out-of-use)

Dalam entri akan datang pula kita akan tinjau sama ada sesuatu pantun itu panatu atau bukan berdasarkan pembayangnya.


Sehingga bertemu kembali.


5,285 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page