top of page
Writer's picturepantunandstuffs

Pantun Kemerdekaan

Ini ialah satu soroton ringkas bersahaja megenai pantun-pantun kemerdekaan atau pantun merdeka sempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-64 tahun ini. Sekilas sudah tentulah seperti tidak banyak yang boleh dibicarakan pun. Pantun kemerdekaan itu mestilah memuatkan isi-isi bertema kemerdekaan, kebebasan. Mestilah kandungannya memandang semula ke suatu peristiwa bertahun-tahun dahulu dan peristiwa-peristiwa lama sebelum itu yang akhirnya membawa kepada detik 31 Ogos 1957.


Secara dasar bolehlah kita kata begitu. Tetapi di sini kita mahu explore lebih daripada inti pokok bagi penghasilan pantun kemerdekaan. Sedikit sebanyak harapnya dapatlah menjadi satu garis panduan atau ilham dan idea bagi mereka yang hendak menghasilkan pantun kemerdekaan sama ada untuk poster, atau pertandingan atau diselitkan dalam ucapan majlis-majlis berkaitan.


Sejujurnya jika disebut mengenai kemerdekaan, bentuk puisi yang terlintas dalam fikiran saya ialah sajak. Sajak merupakan puisi moden yang bentuknya tidak terikat. Penyajak bebas mengolah kata-kata dan merangkaikannya mengikut apa yang dirasakan paling berkesan. Sajak-sajak kemerdekaan banyak. Tidak pula seperti pantun kemerdekaan. Ada, cuma pada saya seperti penggunaannya kurang sinonim atau kurang meluas dengan tema merdeka.


Mungkin saja hanya saya yang tidak begitu didedahkan dengan penggunaan pantun kemerdekaan. Tetapi apabila dibandingkan dengan ucapan hari raya contohnya, rasa lain benar antara meluasnya dan sinonimnya penggunaan pantun terhadap dua tema tersebut.


Tahun in saya rasa bertuah terjumpa satu inisiatif kempen pantun merdeka oleh Agro Bank. Kebiasaannya kalau pertandingan kemerdekaan yang terlintas pada fikiran saya ialah deklamasi atau penulisan sajak. Inisiatif oleh Agro Bank sangat diraikan.

Ini menunjukkan yang pantun masih ada tempat dalam masyarakat dan tidak terhad untuk ucapan raya sahaja.


Jadi apa yang membentuk pantun kemerdekaan?


Pertama sekali sudah tentulah ia mesti berbentuk pantun. Dan perkara ini tidak perlu dibicarakan dengan panjang lebar. Banyak rujukan dan perbincangan yang ada dalam blog ini ataupun di luar. Secara ringkas ia mestilah karangan berangkap, terdiri dari jumlah baris yang genap. Separuh daripadanya pembayang dan separuh kemudian maksud. Rima akhir pembayang mestilah berpadanan dengan rima akhir maksud. Contoh jika pantun 4 kerat, maka pola rima akhir mestilah abab.


Yang menjadikan pantun tersebut pantun merdeka ialah inti/mesej merdeka yang dibawa dalam pantun. Terdapat pantun yang tema merdeka dibawa dalam pembayang dan ada yang dibawa dalam maksud. Ada juga yang memuatkan tema kemerdekaan dalam kedua-dua pembayang dan maksud.


Tema yang dibawa pula tidak semestinya terhad kepada peristiwa merdeka atau unsur-unsur sejarah. Boleh juga memuatkan konsep atau persoalan yang lebih luas seperti semangat atau identiti kebangsaan, harapan kepada negara, pemimpin dan masyarakat, konsep bersatu padu dan harmoni serta pelbagai lagi asalkan mesej pantun membicarakan tentang negara tersebut dan perihal sekitar kemerdekaannya.


Contoh berikut kita hasilkan sebagai contoh mesej-mesej yang boleh dimuatkan dalam pantun merdeka

Kalau hendak dapat gelama, Mesti tahu memasang pukat; Kalau hendak hidup bersama, Mesti tahu bermuafakat.

(kepentingan muafakat bagi rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, satu aspek kemerdekaan)

Bunga melur bunga melati, Mari dirampai dengan akasia; Apa tanda aman negeri, Hidup sebagai bangsa Malaysia.

(keperluan identiti kebangsaan, bangsa Malaysia bagi menjamin keamanan Malaysia yang merdeka)

Pagi menyalai pisang batu, Lebihan ada jadi penganan; Hidup sebagai bangsa bersatu, Rukun negara jadi pegangan.

(Kepentingan Rukun Negara sebagai penyatu bangsa Malaysia agar kemerdekaan lebih bermakna lagi)

Buah nangka si buah duku, Baik ditaruh di atas papan; Kekal merdeka Malaysiaku, Hingga jauh ke masa depan.

(Harapan untuk Malaysia kekal merdeka)


Kebanyakan sampel pantun kemerdekaan turut menggunakan unsur berkaitan merdeka dalam pembayangnya. Unsur seperti merdeka, bendera, dan lain-lain jelas menunjukkan keterikatan tema dalam penghasilan pembayang. Pemilihan sebegini ada kelebihannya. Antaranya pantun tersebut akan kedengaran jelas mahu menyampaikan mesej-mesej berkaitan kemerdekaan sejak dari pembayangnya lagi.


Bandingkan dengan 4 pantun sebelum ini, di mana pembayang tidak menzahirkan sebarang imej kemerdekaan atau kenegaraan. Hanya selepas maksud diujarkan sahaja baru jelas itu pantun kemerdekaan.


Untuk turut menggunakan imej-imej kemerdekaan atau kenegaraan dalam pembayang, pemantun mestilah berhati-hati supaya tidak menjadikan pembayang seolah-olah sebahagian maksud. Lebih teruk lagi jika pembayang tersebut terus bersambungan makna dan ceritanya dengan bahagian maksud.


Jika perkara ini terjadi, boleh saja kita katakan bukan pantun yang dihasilkan. Walaupun pola rima hujungnya dijaga, hilangnya pembezaan yang jelas antara pembayang dan maksud boleh menjadikan pantun tersebut hanyalah bait sajak yang berima hujung. Kita salinkan di bawah satu pantun sebagai contoh

Beratus tahun negara dijajah, Portugis Belanda Inggeris dan Jepun, Kini Malaysia berdiri megah, Pelbagai langkah telah disusun.

Maksud pantun di atas kelihatan atau boleh dibaca sebagai sambungan bagi pembayang. Penggunaan perkataan kini pada baris ketiga seperti meminta kita membandingkan dengan zaman dahulu seperti yang disebut dalam baris pertama (beratus tahun dijajah) dan kedua (Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun).


Perkara lain berkenaan binaan pantun yang perlu diambil kira ialah penggunaan kata-kata yang boleh menyebabkan kejanggalan dalam pengucapan pantun. Hal ini penting kerana pantun secara dasarnya puisi yang perlu diujarkan, puisi lisan. Jadi kekuatan dan kecantikan pantun itu sudah tentu hanya dapat dinilai setelah diujarkan, disebut atau diucap. Kejanggalan dalam mengucapkan sesuatu pantun bolehlah kita anggap sebagai tanda pantun tersebut kurang murni dan berkesan.


Perkara pertama yang perlu diperhatikan melibatkan panjang sesuatu baris lebih-lebih lagi bagi penggunaan frasa yang menunjukkan tarikh seperti 31 Ogos 1957. Walaupun secara zahir seperti terdiri daripada 3 patah perkataan sahaja, tetapi pantun sebagai satu tradisi lisan mestilah diucapkan. Oleh itu, kita perlulah mengambil kira jumlah suku kata bagi frasa tersebut,


ti|ga | (pul|uh) | sa|tu | O|gos | sem|bi|lan | be|las | li|ma | (pu|luh) | tu|juh (15-19 suku kata)


Jumlah suku kata bagi setiap baris yang biasanya sesuai dan sedap diujarkan ialah 8-12 suku kata. Seperti yang kita lihat, jika tarikh digunakan, jumlah suku kata akan menjadi agak berlebihan dan membuatkan baris tersebut janggal disebut.

Sungguh enak buah Melaka, Dimasak oleh Puan Azizah, 31 Ogos kita Merdeka, (11-13 suku kata) Bebas dari cengkaman penjajah.
31 Ogos Tarikh Keramat, (11-13 suku kata) Bersama kita menyambut merdeka, Bersatu berazam penuh semangat, Mari pertahankan kemerdekaan kita.

Ini tidak terhad kepada tarikh. Penggunaan angka secara umumnya mestilah mengambil kira jumlah suku kata untuk menyebut angka itu. Sebagai contoh,

Dari Kelantan ke negeri Melaka, (12 suku kata) Singgah berehat di pekan Kuantan, (11 suku kata) Sudah 64 tahun Malaysia merdeka, (16 suku kata) Hidup aman tiada keperitan. (11 suku kata)

Penggunaan 64 (enam puluh empat) dalam baris ketiga telah menyebabkan baris tersebut terdiri daripada 16 suku kata, lebih daripada yang biasa. Dan untuk menunjukkan kejanggalan, kita bandingkan dengan jumlah suku kata bagi baris-baris lain; 11-12 suku kata. Untuk tidak berbunyi janggal apabila diucapkan, baris ketiga perlulah panjangnya 11-12 suku kata juga.


Sama seperti pantun berikut,

Terbang tinggi si burung merpati, Hinggap sebentar di atas dahan, Sudah 64 tahun kemerdekaan dirai, (18 suku kata) Negara sejahtera penuh kenangan.

Sebaik mungkin untuk kita cuba dapatkan sebaris 12 suku kata paling panjang untuk mengelakkan kejanggalan dalam pengucapan pantun.


Selain itu, perlu juga diperhatikan supaya sesuatu baris tidak menjadi terlalu panjang (suku kata) walaupun tidak mengandungi angka. Perhatikan baris pertama dalam contoh di bawah,

Bulan kemerdekaan disambut penuh semangat, (15 s.k.) Sambil mengharap Malaysia terus berjaya, 31 Ogos tarikh keramat, (11-13 suku kata) Bersama kita menyambut merdeka.

Bandingkan jika pantun tersebut diubah suai seperti berikut,

Bulan merdeka beri semangat, (10 suku kata) Harap Malaysia terus berjaya, (10 suku kata) 31 Ogos tarikh keramat, (11-13 suku kata) Bersama kita sambut merdeka. (10 suku kata)

Untuk itu sesuatu mesej yang hendak disampaikan jika ada frasa-frasa yang panjang suku katanya perlulah diletakkan dalam baris yang ringkas, atau sambungan kepada inti baris tersebut diasingkan dan diletakkan pada baris lain supaya tidak menjadikan sesuatu baris terlalu panjang. Contohnya jika hendak berkata mengenai tema,

MALAYSIA PRIHATIN tema rasmi, Untuk sambutan Hari Kebangsaan, Pemimpin negara kita sanjungi, Membentuk negara menuju wawasan.

Bandingkan jika baris pertama tersebut dibuat seperti ini: Malaysia Prihatin tema rasmi tahun ini (14 suku kata). Dia akan jadi panjang dan janggal. Bayangkan jika pemantun tidak mengasingkan mesej “Malaysia Prihatain tema rasmi untuk sambutan Hari Kebangsaan” kepada baris pertama dan kedua, berapa panjang pula baris pertama pantun tersebut, bukan?


Kedua pula melibatkan kata “merdeka” sendiri. Umum menyebut merdeka tanpa mengubah bunyi vokal a sebagai e pepet (e dalam dengan). Oleh itu, jika perkataan “merdeka” hendak digunakan pada hujung baris, sebaiknya dirimakan dengan perkataan yang secara lazim disebut dengan bunyi a dan bukannya e pepet.

Dari Kelantan ke negeri Melaka, Singgah berehat di pekan Kuantan, Sudah 64 tahun Malaysia merdeka, Hidup aman tiada keperitan.

Contoh pada pantun di atas, kata Merdeka dalam baris ke-3 dirimakan dengan Melaka pada baris pertama. Jika dibaca sekali lalu, kita akan terdorong menyebut Melaka sebagai melake, dan dengan ini apabila kita sampai ke baris ketiga, akan kedengaran janggal kerana baris ketiga berkahir dengan a. Ini kemudiannya akan membuat kita pergi semula ke baris pertama untuk membetulkan sebutan kata Melaka (dengan sebutan baku) supaya kedengaran sedap dan tidak janggal.


Perkara ini tidak akan menjadi masalah jika pantun tersebut diujarkan sendiri oleh pemantun. Tetapi jika diletakkan dalam ucapan atau poster misalnya, ia akan memberi sedikit kejanggalan jika pembaca terbaca dengan sebutan tidak baku pada awalnya.


Ketiga pula berkenaan perkataan yang sukar dirimakan (rima akhir sempurna) atau jika boleh pun menjadi janggal kerana suku kata terakhirnya tidak banyak ada dalam perkataan-perkataan yang biasa dipakai. Yang dimaksudkan dengan rima akhir sempurna ialah pengulangan bunyi keseluruhan suku kata terkahir sesuatu perkataan.

Jiwa Tua, Jawa, lawa – rima akhir sempurna Ketika, puja, sama – rima akhir tidak sempurna lari, ciku, sangat – tak rima langsung

Contoh mudah ialah “Malaysia”. Suku kata terakhir “Malaysia” ialah –sia (atau –ya), dan ini tidak banyak wujud bagi membolehkan penghasilan rima akhir sempurna.

Usia, akasia, dia

Jadi antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah:


1. Meletakkan perkataan yang sukar dirimakan di tengah baris

Jalur Gemilang bendera Malaysia => Bendera Malaysia Jalur Gemilang

Ayuh semua rakyat Malaysia => Ayuh rakyat Malaysia semua


2. Menggunakan kata nama khas (carilah nama tempat, orang, kedai yang sesuai) sekadar untuk merimakan. Contoh Akasia, Rafflesia, Asia


3. Dapatkan rima tidak sempurna. Sekurang-kurangnya rima. Mungkin takkan jadi sebaik rima akhir sempurna, tetapi daripada tak rima langsung lebih baik ada rima.

Malaysia (baku) – Merdeka

Malaysia – bangsa, sejahtera


Kita salinkan di bawah ini beberapa contoh pantun yang menggunakan “Malaysia” di akhir baris. Dalam kesemuanya contoh, rima yang dibuat ialah rima akhir tidak sempurna.

Bersatu padulah rakyat Malaysia, Elakkan diri dari pergaduhan, 64 tahun negara merdeka, Negara makmur terus berwawasan.
Aman bahagia rakyat sejahtera, Rakyat sepakat membawa perpaduan, Pelbagai kaum mewarnai Malaysia, Malaysia megah di puncak kejayaan.
Ayuh semua rakyat Malaysia Jalur Gemilang kita kibarkan, Bersatu hati semua bangsa, Membawa negara menuju kejayaan.
Jalur Gemilang bendera Malaysia, Megah berkibar setiap hari, Selalulah kita berdoa padaNya, Supaya Malaysia terus aman harmoni.

Kesimpulan:

Pantun merupakan satu bentuk puisi tradisional yang sesuai dijadikan medium penyampaian mesej-mesej dan ini termasuklah mesej berkaitan kemerdekaan atau kenegaraan sama ada yang melibatkan penyampaian informasi berkenaan kemerdekaan atau kenegaraan atau juga harapan seseorang terhadap negaranya.


Dalam penghasilan pantun merdeka ini, kita telah bincangkan mengenai beberapa aspek yang perlu diteliti iaitu dari segi binaan pantun dan juga mesej yang hendak dibawa.


Mesej yang boleh dimuatkan juga tidak semestinya terhad kepada peristiwa kemerdekaan atau unsur-unsur sejarah yang membawa kepada kemerdekaan itu sendiri. Isi yang lebih luas melibatkan keharmonian, kebangsaan juga boleh dimuatkan asal saja isinya kukuh berkenaan negara ini.


Sumber-sumber pantun diambil juga daripada laman-laman berikut:


Till then.

1,634 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page