Apa tu pantun?
Dalam posting sebelum ini, untuk memudahkan perbincangan, kita kata 'pantun' ini sejenis puisi melayu tradisional. Persoalannya,itu sahajakah?
Pantun ada beberapa maksud lain, yang di sini kami kumpulkan bagi kita lebih tahu asal ‘pantun’ itu sendiri.
Pantun sebagai peribahasa dan perumpamaan
Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT), Pateh Kerma Wijaya ada mengatakan
akan sekarang adalah seperti pantun orang: ‘pagar makan padi’
Apa yang dimaksudkan dengan 'pantun' di sini? Sudah tentu pantun di sini bukan bererti sejenis bentuk puisi tradisional Melayu seperti yang telah kita letakkan dalam posting sebelum ini. Itu hanya ayat ringkas, tidak berbaris, tidak berangkap, tidak berima; tidak mempunyai ciri-ciri pantun seperti yang telah kita terangkan.
Penggunaan pantun dalam konteks ini lebih dekat kepada peribahasa.
Peribahasa – ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidal, pepatah.
Secara penuhnya kita kenal, apa yang dikatakan Pateh Kerma Wijaya dalam HHT ini, ialah peribahasa harapkan pagar [sic], pagar makan padi yang merujuk kepada orang yang kita percayai berkhianat kepada kita (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu)
François-René Daillie ada secara sekilas menyatakan kemungkinan asal perkataan pantun itu datang dari laras kromo jawa ‘pari’ seperti dalam penggunaannya dalam paribasa yang kita kemudian ambil menjadi peribahasa.
Kamus Dewan dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) juga meletakkan peribahasa sebagai erti kedua bagi entri ‘pantun’.
Pantun – (arkaik) sejenis peribahasa yang digunakan sebagai sindiran (Kamus Dewan); peribahasa sindiran (KBBI)
Perkara ini tidak sepatutnya mengejutkan, kerana kita sedia tahu memang wujud pantun (puisi) yang dipanggil sebagai pantun peribahasa, iaitu pantun yang memuatkan ungkapan-ungkapan peribahasa (perumpamaan, pepatah, bidalan, dan sebagainya). Mana yang hadir dulu? Itu kita akan ceritakan pada masa lain.
Kita lihat pula contoh perkataan 'pantun' dalam pantun di bawah,
Hujanlah hari rintik-rintik, Tumbuh cendawan gelang kaki; Kami sepantun telur itik, Kasih ayam maka menjadi.
Hanyut perian bertali rumin, Penuh berisi gula-gula; Tuan sepantun kilat cermin, Di balik gunung tampak jua.
Penggunaan pantun (selepas mendapat imbuhan awalan se-) dalam kedua-dua pantun di atas pula lebih membawa maksud seperti, seumpama, umpama, laksana dan perkataan-perkataan lain yang berfungsi menunjukkan perbandingan atau persamaan (comparison).
Penggunaan ini secara tak langsung menyokong konsep pantun sebagai ganti lain peribahasa. Za’ba juga ada menyatakan asal perkataan pantun itu adalah dengan makna seperti atau seumpama.
Pantun sebagai puisi Melayu tradisional
Kemudian kita beralih kepada makna yang lebih dikenali ramai apabila menyebut perkataan pantun – sejenis puisi Melayu tradisional.
Prof. Dr. Mohd Taib Osman membahagikan puisi Melayu tradisional itu kepada 5 bentuk:
Syair
Pantun
Gurindam
Seloka
Ikatan Puisi Bebas (teromba, endoi, mentera, pepatah-petitih, perbilangan adat, dan lain-lain)
Cedok dari Kamus Dewan, erti pertama bagi entri pantun ialah
sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya mengandungi maksudnya).
Dan seperti yang telah kita huraikan sebelumnya, pantun mempunyai struktur tersendiri yang jika dilanggar, tidak jadi pantun.
Pantun dibentuk dalam rangkap-rangkap (stanzas), yang mesti dibentuk secara berpasangan di dalam jumlah baris yang genap (2, 4, 6 dan sebagainya).
Berkenaan perkara ini, Za’ba menjelaskan yang setiap rangkap terbahagi 2 – separuh pertama ‘pembayang maksud’. Separuh kedua maksudnya yang sebenar yang dibayangkan oleh separuh yang pertama (pembayang).
Za’ba seterusnya menerangkan lanjut baris mana pembayang, baris mana maksud bagi pantun 2, 4, 6 dan 8 kerat. Kumpulan Pantun Melayu turut menyatakan kewujudan (bolehnya) sesuatu pantun itu terdiri daripada jumlah baris (kerat) yang pelbagai, asalkan genap. Tetapi dalam kumpulan Pantun Melayu, hanya disebut pantun itu hanya sehingga 16 baris serangkap. Tidak ada dinyatakan boleh jadi lebih 16 baris serangkap.
Jika kita lihat syarat baris dalam rangkap pantun, pertama sekali hanya perlu diwujudkan secara berpasangan antara pembayang dan maksud. Mengapa pula kelihatan seperti diwujudkan had bagi jumlah baris? Za’ba hanya kisah menghurai lengkap sehingga pantun 8 kerat, sementara Kumpulan Pantun Melayu pula hanya meletakkan kemungkinan pantun itu paling tinggi boleh pergi 16 baris.
Dalam pemerhatian François-René Daillie, semakin banyak baris dalam sesuatu rangkap pantun, semakin jauh kedudukan antara dua baris yang berpasangan tadi, dan kekuatan rimanya semakin hilang.
Contoh, kalau pantun 16 kerat, baris pertama akan berima dengan baris ke-9. Wujud tujuh baris yang perlu disinggah sebelum sampai ke baris ke-9 tersebut. By that time, bunyi baris pertama tadi mungkin dah tak berapa nak melekat di kepala. Jadi disebabkan ini, kurang sedikit keberkesanan pantun-pantun yang berbaris lebih daripada 4. Rumusannya,
The longer the pantun, the weaker the effect. - François-René Daillie
Mungkin ini yang menjadi sebab mengapa tidak ada dibayangkan pantun yang terlalu banyak barisnya dalam serangkap. Untuk keperluan menyatakan konsep yang lebih panjang melalui pantun, pantun berkait biasanya digunakan.
Pantun sebagai Jawapan
Direkodkan juga erti ketiga pantun dalam Kamus Dewan dan KBBI sebagai
jawaban kpd tuduhan dan lain-lain (Kamus Dewan) jawab (misalnya pada tuduhan) (KBBI)
Pun begitu, tiada disertakan huraian lanjut mengenai perkara ini. Penggunaanya sudah arkaik, maksudnya sudah out of use, tidak lagi digunakan dalam sehari-hari atau pada keadaan biasa-biasa. Hanya dapat dibayangkan pantun di sini mungkin terguna pakai misalnya dalam upacara adat yang mebincangkan sesuatu pertuduhan atau soalan, makan yang dibalasnya, jawapan, itu yang dipanggil pantun.
Mungkin dari sini juga datang konsep jual-beli pantun. Jual dalam erti memberi pantun atau memulakan sesia berbalas pantun, dan beli bermaksud menyahut pantun tersebut, menjawap persoalan atau memberi komentar dan pandangan bagi pantun yang telah dijual.
Mudahnya kita dapat rumuskan pantun ini asalnya digunakan dalam erti peribahasa, perumpamaan atau misalan dan kemudiannya turut digunakan untuk merujuk secara khusus salah satu bentuk puisi Melayu tradisional.
Dalam entri terkemudian kita akan sentuh pula sedikit mengenai perbezaan pantun dengan puisi-puisi tradisonal yang lain seperti syair, gurindan dan lain-lain seperti yang dinyatakan di atas. Kita juga akan lihat dengan lebih lanjut perihal pembayang pantun serta fungsi-fungsi pantun.
Until then.
Comentarios